Sunday, August 25, 2013

KELEBIHAN UMAT MUHAMMAD DIBANDINGKAN DENGAN UMAT SEBELUMNYA !

Ibnu Mas’ud r.a berkata: “kami masuk untuk bertemu Rasulullah S.A.W. di rumah Ummul Mukminin Aisyah r.h.a tatkala waktu perpisahan telah menghampiri Baginda S.A.W., lalu kami memerhatikan baginda ,menitiskan air mata dan bersabda: “selamat datang wahai sahabatku sekalian, moga Allah merahmati kalian, moga Allah memelihara kalian, moga 
 
Allah membantu kalian, dan aku berwasiat kepada kalian agar bertaqwa kepada Allah dan jadikanlah diri kalian sentiasa bersama Allah. Sesungguhnya aku bagi kalian hanyalah merupakan seorang pemberi amaran yang nyata. Jangan sesekali kalian cuba untuk melebihi Allah terhadap bumiNYA dan hambaNYA. 
 
Sesungguhnya ajal telah tiba dan waktu berpindah bertemu Allah, saat ke Sidratul Muntaha sudah hampir dan ke tempat yang bahagia (syurga), tempat yang penuh dengan nikmat maka sampaikanlah daripadaku buat kalian dan orang-orang yang datang selepas kalian yang memeluk agama ini ucapan salam dan doaku agar dirahmati Allah”
 
Diriwayatkan pada hari kewafatan baginda,baginda bertanya kepada Jibril tentang nasib umatnya selepas wafat nanti dengan katanya,” siapakah yang akan menjaga kedudukan umatku selepas kewafatanku ini?” maka Allah mewahyukan kepada Jibril a.s. “khabarkanlah kepada kekasihKU Muhammad S.A.W berita gembira bahawa Aku tidak akan mensia-siakannya dengan membiarkan umatnya dan berikanlah khabar gembira bahawa beliau adalah insan pertama daripada kalangan manusia yang akan dibangkitkan dari bumi menuju padang Mahsyar, beliau adalah penghulu tatkala manusia-manusia dihimpunkan dan diharamkan syurga untuk dimasuki oleh umat terdahulu melainkan setelah dimasuki oleh umatnya.” Maka sekarang ini barulah sejuk mata hatiku” 
 
Kelebihan umat Rasulullah S.A.W. menurut Nabi Adam A.S.
 
Sesungguhnya Allah S.W.T. telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W. empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:
 
- Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W. diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.
- Pada mulanya aku berpakaian,tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T., maka Allah telah menjadikan aku telanjang. Umat Muhammad S.A.W. membuat derhaka dengan telanjang tetapi Allah S.W.T. memberi mereka pakaian.
- Ketika aku telah derhaka kepada Allah S.W.T.,maka Allah S.W.T. telah memisahkan aku dengan isteriku. Tetapi umat Muhammad S.A.W. berbuat derhaka, allah S.W.T. tidak memisahkan mereka.
- Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T. dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga tetapi umat Muhammad S.A.W. derhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kembali kepada Allah S.A.W.
 
Kelebihan umat Rasulullah S.A.W. menurut nabi Musa a.s
 
Ka’bul Akhbar berkata bahawa:
“Saya telah membaca kitab yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada Nabi Musa A.S yang mana
Allah berfirman yang bermaksud:
“Wahai Musa, dua rakaat yang disembahyangkan pada waktu subuh oleh Muhammad dan umatnya Aku menganpunkan bagi mereka (yang mengerjakan solat subuh) semua apa-apa yang terjadi pada malam dan siang hari, dia tetap dibawah lindunganKu”.
 
Firman Allah S.W.T:
“Wahai Musa, solat Zohor empat rakaat yang dilakukan oleh Muhammad dan umatnya, aku akan beri kepada mereka pengampunan pada rakaat pertama, aku beratkan timbangan mereka pada rakaat kedua, rakaat ketiga Aku kerahkan para malaikatKu bertasbih dan membaca istighfar (memohon ampun) bagi mereka dan pada rakaat keempat Aku bukakan untuk mereka pintu-pintu langit sehingga para bidadari dapat mengintai mereka.”
 
Firman Allah S.W.T:
 
“Wahai Musa, empat rakaat solat asar yang dilakukan oleh Muhammad dan umatnya, maka semua para malaikat dilangit dan dibumi meminta ampun untuk mereka, maka sesiapa yang telah diminta ampun oleh malaikat, tidaklah Aku siksa mereka.”
 
Firman Allah S.W.T:
 
“Wahai Musa, solat Maghrib tiga rakaat yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya, iaitu ketika matahari terbenam, maka Aku bukakan untuk mereka pintu2 langit , dan setiap sesuatu yang mereka minta pasti akan Aku berikan.”
 
Firman Allah:
 
“Wahai Musa, solat Isya’ empat rakaat yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya ketika terbenam mega-mega merah, Solat itu adalah lebih baik daripada dunia dan seisinyadan juga mereka terlepas dari dosa-dosa. Mereka itu bagaikan anak yang baru lahir dari perut ibu.”
 
Firman Allah S.W.T.:
 
“Wahai Musa, jika Muhammad dan umatnya berwudhu’ sebagaimana Aku perintahkan, maka Aku berikan kepada mereka setiap titik air wudhu’ itu dengan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.”
 
Firman Allah S.W.T.:
 
Wahai Musa, puasa yang dikerjakan oleh Muhammad dan umatnya dalam bulan Ramadhan selama sebulan dalam setiap tahun, maka akan Aku berikan mereka setiap satu hari puasa itu satu kota di syurga dan setiap kebaikan yang dilakukan oleh mereka yang sunat, akan diberi pahala sebesar pahala fardhu. Aku berikan kepada mereka satu malam yang bernama Lailatul Qadar, barangsiapa yang membaca istighfar pada malam itu hanya sekali tetapi dengan bersungguh dan menyesal didalam hatinya terhadap kesalahan2nya, apabila dia mati pada malam itu atau pada bulan itu, maka Aku berikan pahala kepadanya pahala 30 orang mati syahid.”
 
Dan Firman Allah S.W.T:
 
“Wahai Musa, diantara umat Muhammad S.A.W. ada orang-orang yang berdiri di atas tempat2 tinggi untuk mengumandangkan syahadat LA ILAHA ILLALLAH, maka pahala mereka bagaikan pahala para nabi-nabi A.S. dan rahmatKu wajib keatas mereka. Sedangkan murkaku jauh dari mereka dan tidak akan Aku tutup bagi mereka pintu taubat selama mereka tetap bersyahadat kepadaku.
 
Begitulah betapa besarnya ganjaran dan kelebihan untuk umat Muhammad jika dibandingkan dengan umat para nabi yang lain. Jadi, semoga kita dapat memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepadaNya.
 
subhanallah betapa bertuahnya kita umat di akhir zaman,umat Islam akhir zaman yang dapat mengecapi nikmat islam tanpa perlu berperang seperti pejuang terdahulu.
Ayuh sahabat-sahabat apa lagi yang kita tunggu, marilah kita bersama-sama kejar melakukan kebaikan….hidup di dunia ini hanyalah sementara, tempat persinggahan sebelum didatangi penghidupan akhirat….